Tuesday, 28 March 2017

Filled Under:

Al-Fatihah..Takziah Azharina Diatas Kehilangan Orang Tersayang

Al-Fatihah..Takziah Azharina Diatas Kehilangan Orang Tersayang

Puchong: Jenazah anak angkat kedua penyanyi Azharina Azhar iaitu Rizkie Azharin Azhar selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baru Batu 14 di sini, hari ini.

Rizkie yang baru berusia 23 hari disahkan meninggal dunia jam 10.45 pagi di Hospital Putrajaya akibat komplikasi organ dalam badan.

Azharina, 32, ketika ditemui berkata dia reda dengan pemergian anaknya itu malah bersedia menerima apa sahaja kemungkinan sejak dilaporkan tenat ketika dirawat Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) semalam.

"Sejak menerima kehadiran dua anak angkat, saya ibu saya jugalah bapa. Malah mereka ibarat nyawa saya. Apabila Rizkie dilaporkan kritikal saya tak sanggup melihat kesengsaraan yang dilalui. Apatah lagi dia bergantung kepada alat bantuan pernafasan.

"Selama ini saya berdoa biarlah saya pergi dahulu daripada mereka. Hati ibu mana yang tidak sedih melihat anak mereka sakit. Tetapi Allah lebih sayangkan Rizkie," katanya kepada Harian Metro.

Rizkie yang dilahirkan di hospital sama pada 5 Mac lalu diserahkan oleh seorang wanita berusia 31 tahun dan berasal dari Keningau, Sabah.

"Sejak Rizkie lahir sehingga penghujung hayatnya, saya yang menjaga dan menguruskannya. Cuma ada beberapa hari saya tak banyak meluangkan masa dengannya kerana sibuk membuat persiapan konsert di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur.

"Saya berasa belum puas hidup dengannya. Banyak lagi perkara yang belum saya lakukan untuknya. Malah saya mengimpikan dia untuk bergelar tahfiz apabila besar kelak. Saya juga teringin melihat dia meraih segulung ijazah," katanya.

Terdahulu Rizkie dimasukkan ke wad NICU pada Ahad lalu akibat demam panas sebelum dilaporkan tenat semalam.

Ketika itu Azharina memaklumkan Rizkie mengalami kerosakan kedua buah pinggang, pendarahan dalam otak, paru-paru dipenuhi susu dan tekanan darah tidak menentu.

Selain Rizkie, Azharina juga memiliki seorang lagi anak angkat lelaki iaitu Rahmat Azharin Aziz yang berusia tiga tahun.




0 comments:

Post a Comment